Isnin, 1 November 2010

Tabarruj



Tabarruj amat sinonim dengan prilaku wanita. Maka tidak hairanlah jika perbincangan berkenaan tabarruj ini seringkali dikaitkan dengan wanita. Berhias dengan berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya. Telah diketahui bahawa golongan hawa ini ingin sentiasa tampak cantik dan menawan terutamanya di hadapan kaum adam. Maka berdandanlah ia dan berwangi-wangian untuk mendapat segala perhatian dan pujian.

Perkara inilah dimaksudkan dengan bertabarruj, berlebihan dalam berhias. Ianya dilarang keras dalam Islam kerana menunjuk-nunjuk perhiasan diri kepada orang ramai. Dikatakan juga zalim kepada diri sendiri disebabkan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Maka kita akan memperbincangan dengan lebih rinci lagi berkenaan tabarruj helaian demi helaian agar maksud dan mesejnya yang sebenar dapat disampaikan dengan cara yang berkesan. Dan kita juga akan mengetahui bagaimana cara yang sebenar untuk para wanita berhias berdasarkan garis-garis yang telah ditetapkan oleh Islam. Kecantikan itu bukannya berasal dari luaran tetapi asalnya adalah dari cantiknya dalaman yang merangkumi emosi, rohani, fizikal dan mental. Maka akan terserlahlah kecantikan luaran itu walaupun tanpa berhias secara berlebihan.

PENGERTIAN TABARRUJ

Tabarruj dari segi bahasa:
Tabarruj adalah berasal dari perkataan Arab. Asal perkataannya ialah برج- يبرج yang bermaksud ظهر وارتفع yang bermaksud zahir, jelas atau timbul. تبرجت المرأة maksudnya ialah أظهرت زينتها ومحاسنتها للأجانب. Maka tabarruj maksudnya ialah apabila wanita menzahirkan perhiasaan serta kecantikannya kepada lelaki ajnabi .

Ajanabi diertikan dengan bukan mkahram.

Tabarruj mengikut Mu’jam al-Alfaz wa al-‘Alam al-Quraniyyah ialah apabila seseorang wanita tanpa segan silu menzahirkan kecantikannya yang tersembunyi di hadapan lelaki ajnabi .

Manakala Kamus Lisan al-‘Arab pula memberikan makna tabarruj apabila seseorang perempuan menzahirkan atau mempamerkan kecantikannya kepada lelaki ajnabi .
Kesimpulannya tabarruj membawa erti berhias untuk tampak cantik di hadapan lelaki ajnabi atau melawa. Mengiku Kamus Dewan melawa ialah memakai atau berhias supaya kelihatan lawa, melagak atau meraga .


1. TABARRUJ MENGIKUT AL-QURAN

1.1. Firman Allah Taala dalam surah al-Ahzab ayat 33 :

Maksudnya :
dan hendaklah kamu tetap diam di Rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti Yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu Dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara Yang mencemarkan diri kamu - Wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari Segala perkara Yang keji)”.

Ayat ini ditujukan kepada ummahat al-mukminin iaitu para isteri baginda Rasulullah s.a.w., namun walaupun begitu ayat ini hukumnya adalah umum untuk semua wanita Islam. Allah memerintahkan kaum wanita supaya berada di rumah dan tidak keluar andainya tidak ada keperluan dan mereka dilarang bertabarruj sepertimana wanita jahiliyah dahulu bertabarruj apabila keluar rumah.

Imam al-Qurtubi mentafsirkan ayat ini dengan katanya” ayat ini adalah khitab (ditujukan) kepada isteri-isteri nabi supaya berada di rumah andainya tidak ada keperluan walaupun begitu hukum ini termasud juga wanita muslimat yang lain” .
Di dalam menghuraikan makna tabarruj ini para mufassirin telah pun mentafsirkan ayat ini. Antaranya:

1. Mujahid: wanita-wanita dahulu mereka keluar tanap tujuan dan berjalan di hadapan lelaki. Inilah yang dimaksudkan dengan tabarruj jahiliyah .
2. Muqatil bin Hayyan : Tabarruj jahiliyyah ialah apabila wanita itu meletakkan tudungnya di kepala dan ia tidak mengikatnya dengan betul sehingga menampakkan rantai leher, sumbang dan lehernya .
3. Qatadah pula mengatakan Allah s.w.t melarang tabarruj jahiliyah ialah kerana wanita sahulu keluar dengan lenggang lenggok .
4. Ibn Abi Najih menjelaskan bahawa maksud tabarruj ialah التبختر iaitu memakai wangi-wangian .

Pendapat yang lebih rajih mengenai maksud ayat ialah apa yang telah berlaku kepada wanita sebelum Islam di mana mereka memperlihatkan kecantikan dan perhiasan yang seharusnya tidak dapat diperlihatkan kepada lelaki ajnabi sehingga menaikkan nafsu mereka. Inilah perkara yang dilarang di dalam Islam .

1.2. Firman Allah swt dalam surah al-Nur ayat 31:

“dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu Berjaya”.(surah an-Nur : 31)


(1) “ Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”

Pendapat ulama’ tafsir menginai ayat ini:

i) Ibn Kathir:

Mengikut Ibn Kathir ayat ini bermaksud wanita tidak boleh menzahirkan perhiasan di hadapan ajnabi kecuali sesuatu yang memang tidak boleh disembunyikan. Mengikut Ibn Mas’ud r.a. maksud ما ظهر منها seperti al-rida’ dan al-thiyab. Al-rida’ mengikut kamus al-Munjid fi al-Lughah wa al-‘Alam ialah apa yang dipakai di atas baju seperti jubah(pakaian luar) . Manakala al-Thiyab pula adalah perkataan jama’ dari al-thaub yang bermaksud pakaian .Orang yang sependapat dengan Ibn Mas’ud ialah al-Hasan, Ibn Sirrin, al-Nika’i dan lain-lain. Mengikut al-‘A’masy dari Said bin Jubir dari Ibn Abbas mengatakan maksud ayat ini ialah muka dan tapak tangan juga cincin .

ii) Al-Qurtubi

Imam al-Qurtubi rahimahullah mengatakan bahawa Allah swt memerintahkan kaum wanita supaya tidak menzahirkan perhiasan mereka di hadapan lelaki ajnabi. Kemudian Allah swt mengecualikan perhiasan yang boleh dilihat oleh lelaki ajnabi. Mengenai pengecualian ini ada beberapa pendapat mengenai kadar bahagian mana yang harus dibuka. Ibn Mas’ud mengatakan perhiasan yang zahir ialah al-thiyab. Ibn Jubair mengatakan muka. Said bin Jubair, ‘Ata’ dan al-Awza’i mengatakan muka, kedua tapak tangan dan baju. Ibn Abbas, Qatadah dan al-Miswar bin Mukhrimah mengatakan perhiasan yang zahir ialah celak, gelang, inai dan seumpamanya. Ibn ‘Atiyyah pula berpendapat bahwa daripada ayat ini wnaita tidak boleh mendedahkan perhiasannya dan wanita seboleh mungkin hendaklah menyembunyikan perhiasannya. Walaipun begitu di sana ada pengecualian boleh dizahirkan dan dikira hokum darurat dan dalam keadaan ini dimaafkan .

iii) Muhammad Ali al-Sabuni

Muhammad Ali al-Sabuni pula mentafsirkan ayat ini dengan katanya: wanita tidak boleh mendedahkan perhiasan mereka di hadapan lelaki ajnabi kecuali mana yang zahir dengan tidak sengajadan tidak berniat jahat.
Berdasarkan kepada huraian di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat مَا ظَهَرَ مِنهَا ialah :

• Muka dan tapak tangan
• Pakaian luar
• Celak dengan syarat tidak menimbulkan fitnah
• Berinai
• Cincin dan gelang

(2)
Maksudnya : dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.

Al-khumur adalah jama’ dari perkataan al-khimar.

Mengikut Sayyid Qutb, al-Khimar ialah sesuatu yang menutupi kepala, leher dan dada.
Mengikut Ibn Kathir, al-khamar di dalam ayat ini ialah sesuatu yang menutupi kepala . Maksud وليضربن pula ialah melabuhkan tudung tadi hingga menutupi leher dan dada. Penggunaan kalimah al-Darb ( الضرب) di sini ialah untuk menunjukkan kepada kita bagaimana bersungguh-sungguhnya Allah swt menyuruh kaum wanita melabuhkan tudung hingga menutupi leher dan dada .

Manakal al-jaib mengikut pandangan Sayyid Qutb ialah permukaan dada (belahan leher baju). Jadi tujuan bahagian ini harus ditutup ialah untuk menyembunyikan ‘mafatinahunna’ iaitu bahagian yang boleh menimbulkan fitnah. Bahkan mengikut Sayyid Qutb bahagian ini juga seharusnya dijaga dan jangan sampai langsung ada orang melihatnya walaupun tersalah pandang. Wanita mukminat yang menerima perintah ini hati-hati mereka sentiasa bersinar dengan nur Allah, mereka tidak teragak-agak untuk patuh dengan perintah Allah walaupun fitrah mereka sendiri gemar dan ingin untuk menonjolkan perhiasan dan kecantikan .

(3) Firman Allah swt:

Maksudnya :
“dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; “

Allah telah menetapkan bahawa wanita hanya boleh membuka aurat dan perhiasan mereka di hadapan mahram mereka sahaja iaitu :

1. Suami
2. Bapa
3. Mertua
4. Anak-anak
5. Anak-anak suami (kerana isteri ayah adalah ibarat ibu sendiri)
6. Adik beradik lelaki
7. Anak-anak saudara lelaki (sebelah ibu).
8. Anak-anak saudara lelaki (sebelah bapa)
9. Wanita yang ada hubungan dengannya sama ada hubungan saudara atau hubungan agama (perempuan muslimah).


2. TABARRUJ MENGIKUT SUNNAH:

Terdapat beberapa hadith nabi yang menyentuh tantang tabarruj, antaranya :

2.1. Maksud hadith :
Daripada ‘Alqamah. ‘Abdullah berkata : Allah melaknat orang yang melakukan tatu dan orang yang meminta supaya dilakukan tatu ke atasnya, orang yang bercukur rambut atau bulu di muka dan orang yang menjarangkan gigi yang mngubah ciptaan Allah, aku tidak akan melaknat kecuali orang yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w. dan ianya ada disebut di dalam al-Quran iaitu di dalam ayat yang bermaksud:”apa-apa yang dibawa oleh Rasul maka hendaklah kamu mengambilnya dan apa-apa yang dilarang maka hendaklah kamu meninggalkan” .

Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa Rasululluh s.a.w. memberi amaran bahawa Allah melaknat orang yang mengubah ciptaan Allah swt seperti melakukan tatu, tidak kira orang yang melakukan tatu atau orang yang ditatu, kedua-duanya mendapat laknat Allah swt. Begitu juga orang yang mencukur rambut atau bulu di muka seperti mencukur atau mencabut bulu kening dan orang yang menjarangkan gigi supaya kelihatan cantik.


2.2. Maksud hadith :

Daripada Ibn Umar r.a. berkata Nabi s.a.w. melaknat orang yang menyambung rambut (memakai rambut palsu kepada seseorang), dan orang yang kena sambung rambut (memakai rambut palsu), begitu juga orang yang melakukan tatu dan orang yang kena tatu .
Hadith ini bermaksud Nabi s.a.w. melaknat mana-mana orang yang Islam lelaki dan wanita daripada memakai rambut palsu, membuat rambut palsu untuk orang lain dan apa jua kegiatan yang berkaitan dengannya. Begitu juga halnya dengan tatu, kedua-duanya adalah dilarang di dalam Islam.


Melakukan tatu ialah menusukkan jarum ke dalam atau seumpamanya ke dalam anggota badan sehingga mengalir darah kemudian disapu dengan besi panas. Ibn Hajar ketika menghuraikan maksud hadith ini menyatakan bahawa hadith ini merupakan hujah yang jelas kepada haramnya kepada kedua-dua perbuatan tersebut. Di dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. menggunakan perkataan laknat menunjukkan bahawasanya haram bukan dengan sebab tanzih bagaimana yang di dakwa oleh sesetengah pandangan, bahkan ada ulama’ menyatakan ia termasuk dalam dosa-dosa besar .

2.3. Maksud hadith :

Rasulullah s.a.w. bersabda : dua golongan dari ahli neraka yang tidak akan saya lihat(di akhirat) iaitu satu kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu sedang memukul manusia dan manita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang yang menarik perhatian orang kepadanya yang berjalan berlenggang dan kepala mereka condong seperti belakang unta, mereka tidak akan dapat masuk syurga, tidak akan menghidu keharuman bau syurga dan bau syurga ini dapat dihidu dengan jarak sekian-sekian.

Hadith ini menjelaskan dua golongan penghuni neraka. Golongan pertama ialah orang-orang berkuasa yang zalim kerana menindas, menyeksa dan menganiaya manusia dnegan kuasanya. Golongan kedua ialah kaum wanita yang berpakaian yang tidak sempurna. Mengikut al-Nawawi maksud berpakaian tetapi bertelanjang mempunyai beberapa maksud. Ada yang berpendapat bahawa paikaian itu maksudnya menerima dan mengecapi nikmat Allah tetapi bertelanjang iaitu tidak mensyukuri nikmat Allah. Ada pula yang berpendapat bahawa maksud berpakaian tetapi bertelanjang ialah maksudnya wanita yang menutup sebahagian badan tetapi membuka sebahagian yang lain untuk ditunjuk-tunjuk. Ada pula yang mengatakan bahawa maksud berpakaian tetapi bertelanjang ialah wanita memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulitnya .


3. TABARRUJ MENGIKUT ULAMA'

3.1. Tabarruj mengikut Abdul Karim Zaidan.

Tabarruj sekarang boleh disamakan dengan al-‘Ura iaitu bertelanjang kerana wanita hari ini mereka berpakaian tetapi seolah-olah mereka bertelanjang kerana mereka memakai pakaian yang nipis dan ketat yang menmpakkan susuk bentuk tubuh badan mereka. Mereka berpaikian lengkap menutupi seluruh badan mereka tetapi muka mereka dihiasi dengan mekap, keningnya diukir dengan halus, pipi dan bibir yang merah serta mata yang biru yan boleh menaikan hawa nafsu lelaki, maka ini juga boleh dikatakan dengan tabarruj .

3.2. Tabarruj mengikut Dr. Yusuf al-Qaradawi

Antara perkara yang menjadikan seseorang itu terkeluar dari tabarruj ialah apabila pakaiannya mengikut batas-batass mengikut batas-batas yang digariskan oleh syara.

3.3. Tabarruj mengikut al-Maududi

Tabarruj jahiliyah ialah semua zinah (perhiasan) yang diniatkan untuk menarik perhatian lelaki ajnabi. Sehinggakan kalau seorang wanita memakai tudung kepala yang terang warnanya untuk menarik perhatian lelaki ajnabi maka ianya termasuk di dalam tabarruj jahiliyah .


4. HIKMAH DILARANG BERTABARRUJ

Setiap yang diperintahkan Allah swt mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Sepertimana firman Allah swt dalam kitabNya:

“Apakah kamu mengira, Kami menciptakan kamu dengan sia-sia, dan kamu kepada Kami tidak akan dikembalikan?” (Al-Mu’minuun ayat 115.)

Maka jelas disini bahawa sebarang perintah atau suruhan daripada Allah swt itu bukanlah suatu perkara yang sia-sia malah terkandung di dalamnya hikmah yang besar buat hamba-hambaNya yang taat dan beriman dengan suruhanNya dan menjauhi laranganNya.
Hikmah yang terkandung dalam tegahan wanita-wanita Islam dari bertabarruj adalah merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Disini penulis membawa beberapa hikmah yang terkandung di dalamnya:

• Dapat menjauhi dari terjebak dalam kancah maksiat

Sepertimana kita maklumi bahawa apabila seseorang wanita yang kurang berhias, jarang atau tidak langsung berhias tidak akan dirasai kehadirannya berbanding wanita yang berhias berlebih-lebihan. Maka mata-mata jahat akan lebih tertumpu kepada perkara-perkara yang meransang mata mereka. Kadang-kadang ianya juga menarik perhatian mata lelaki-lelaki yang beriman yang mana kita sedia maklum bahawa setiap lelaki mempunyai nafsunya sendiri. Justeru itu, wajarlah kita tidak digalakkan berhias secara berlebih-lebihan kerana dengan kurangnya tabarruj dari kalangan wanita maka secara tidak sedar, kes-kes berkenaan gejala social dan jenayah dapat dikurangkan seperti kes rogol, sumbang mahram keruntuhan akhlak dan perkara-perkara maksiat yang lain.

• Mudah untuk mengerjakan solat dan berwudu’

Dengan memakai pelbagai aksosori di pakai atau ditubuh agak menyukarkan untuk mendirikan solat dan berwudu’. Ianya akan mengambil masa yang agak lama sehingga boleh menunaikan solat. Hal ini kerana masa yang banyak akan dihabis untuk menanggalkan aksesori tersebut kadang-kadang sehingga perlu kepada bantuan orang lain. Perkara ini amat menyusahkan. Selain itu, masa juga dihabiskan untuk menyuci segala make-up yang kedapatan di muka. Sebaliknya jika tidak bertabarruj, segala kerja akan menjadi lebih senang bermula dengan mengambil wudu’ sehinggalah menunaikan solat.

• Menjaga iman di dada.

Apabila seseorang wanita muslimah dan mukminah tidak bertabarruj, maka akan meninggalkan kesan-kesan keimanan di sisinya. Hal ini kerana kesan dari tidak berbercantik-cantik itu akan menjauhkan diri wanita tersebut dari terjebak dengan lelaki-lelaki jahat atau gangguan dari lelaki-lelaki yang kurang agamanya. Maka akan terpeliharalah imannya kerana tidak melakukan maksiat di hadapan lelaki atau bersama mana-mana lelaki secara tidak sedar.

• Menjimatkan wang ringgit

Menjimatkan wang ringgit apabila wanita mengamalkan sikap tidak bertabarruj. Tidak perlu untuk membeli aksesori-aksesori yang berlebihan dan barang-barang yang bukan keperluan. Seterusnya alat-alat solek yang tidak langsung menjadi keperluan kehidupan.

• Memupuk sikap bercantik-cantik dari segi yang dibolehkan dan dituntut.

Sudah menjadi fitrah wanita untuk menampakkan diri agar kelihatan dan dipandang cantik. Allah itu sendiri cantik dan suka kepada kecantikan, Oleh itu manusia sendiri harus meletakkan kecantikan pada dirinya. Namun Islam ada menggariskan panduan untuk muslimah yang mementingkan kecantikan yang hakiki. Terdapat beberapa faktor dimana kecantikan itu boleh dibentuk iaitu faktor fizikal iaitu luaran, faktor mental iaitu dalaman dan faktor kerohanian iaitu membentuk roh. Maka aspek-aspek ini yang lebih perlu diberi perhatian oleh setiap kaum wanita.

KESIMPULAN

Tabarruj disamakan maksud dengan melawa atau bercantik-cantik di hadapan ajnabi khususnya ketika keluar dari rumah kediaman dengan memakaian wangi-wangian, berdandan, memperagakan pakaian yang menarik perhatian setiap orang yang melihatnya dan sebagainya lagi. Tidak kiralah dengan apa hajat sekalipun sama ada keluar untuk belajar, bersiar-siar, bekerja, keluar menghadiri seminar atau menghadiri majlis keramaian.

Allah menerangkan kepada kita secara jelas bagaimana adab-adab berpakaian yang sebenar menurut Islam melalui firmanNya di dalam surah al-Nur ayat 31,yang menyeru setiap kaum hawa agar menampakkan apa yang terzahir sahaja daripada diri mereka iaitu muka dan tapak tangan.

Malah banyak juga dari hadith-hadith nabi saw yang menerangkan azab-azab yang pedih disediakan kepada wanita-wanita yang melanggar perintah Allah swt dari segi berpakaian atau dengan lebih tepatnya lagi memperagakan pakaian-pakaian bukan mengikut cara-cara Islam gariskan.

Namun begitu, masih ramai lagi umat Islam lalai dari menyahut seruan Allah swt supaya mempraktikkan dengan sempurna cara berpakaian yang dituntut oleh Islam malah mereka dengan sengaja melupakan azab-azab yang diancamkan kepada mereka.

Tidak hairanlah jika ketika dan saat ini berlakukanya peningkatan mendadak kes-kes rogal dan sumbang mahram di kalangan remaja. Punca berlakunya semestinya bukanlah disebabkan soal berpakaian sahaja tetapi perlulah diingatkan bahawasanya soal pakaian adalah salah satu daripadanya dan merupakan satu titik penting dalam menjerumus seseorang kepada perkara-perkara maksiat. Firman Allah s.w.t:

maksudnya: Dan tidak (dinamakan) kehidpan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Surah Al-An’aam, Ayat: 32).

Justeru itu, sebagai umat Islam kita perlulah mengamalkan cara hidup Islam sebagai satu cara hidup kita agar kesejahteraan dan keberkatan itu diperoleh dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Sekaligus peribadi muslim dapat dipupuk melalui pengamalan etika berpakaian yang sebenar. Hasilnya imej Islam yang selama ini tercalar dengan pelbagai tindakan buruk pengganutnya dapat dipulihkan kembali oleh tindakan-tindakan baik pengganutnya sendiri. Sesungguhnya Islam tidak memerlukan kita tetapi kitalah yang memerlukan Islam.


Rujukan:

1. Abi Abdillah Muhammad bin Ahmad al-Ansori(t.t.),al-Jami’ li Ahkam al-Quran, j. 13, Dar al-Kitab al-‘Arabi,
2. Abi Abdillah Muhammad bin Ismail al-Bukhari (2001), Sahih al-Bukhari, Beirut : Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi
3. Abi al-Fadh Jamal al-Din Muhammad bin Makram Ibn Manzur al-Afriqi al-Masri(1883). Lisan al-‘Arab, j.2, Beirut : Dar Sadir,
4. Abi Muhammad Husain bin Mas’ud al-Fara’ al-Baghawi (1987), Tafsir al-Bughawi al-Musamma al-Ma’alim al-Tanzil, c.2, Beirut : Dar al-Ma’rifah,
5. Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (1995), Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi
6. Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalani (1993), Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari
7. Ali Abd Halim Mahmud(1994), al-Tarbiyah al-Islamiyyah fi suruh al-Nur, Kaherah : Dar al-Tauzi wa al-Nasyr al-Islamiyyah,
8. Al-Munjid fi al-Lughah wa al-‘Alam,(1984), c. 27. Beirut : Dar al-Masyriq,
9. Hajah Noresah bt Baharom, ed.et.al (1996), Kamus Dewan, Edisi Ketiga, c.2. Kementerian Pendidikan Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka,
10. Imad al-Din Abi al-Fida’ Ismail bin Kathir al-Quraisyi al-Dimasyqi(t.t.), Tafsir al-Quran al-‘Azim, j.3, Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, Isa al-Babi al-Halabi wa Syurakah
11. Muhammad Ismail Ibrahim(1967), Mu’jam al-Alfaz wa al-‘Alam al-Quraniyyah, Kaherah : Dar al-Fikri al-‘Arabi,

0 ulasan:

Catat Ulasan